Details:
Kisah Lara Wirang yang bermaksud dendam yang membara kerana diaibkan, telah diadaptasi daripada pelbagai sumber kajian empirikal, yang disesuaikan dengan kemelut yang dihadapi oleh Kerajaan Melaka apabila Kerajaan Chermin yang berpusat di Tanah Jajahan Kelantan Tua (Kalantaha), telah menjalinkan hubungan persaudaraan dengan Kerajaan Majapahit yang berpusat di Tanah Jawi (Pulau Jawa) melalui perkahwinan di antara Ratu Suhita iaitu Ratu Majapahit kedua di Jawa Timur dengan Raja Sekemas Jiwa Sakti @ Sultan Iskandar iaitu pemerintah Kerajaan Chermin kedua yang berpusat di Kota Mahligai. Hasil persaudaraan yang terjalin erat di antara dua kerajaan yang berbeza tampuk kuasa taklukan, tanpa mengambil kira Empayar Melaka yang begitu berpengaruh dari segi kuasa, ketenteraan dan perdagangan di Tanah Melayu, Kerajaan Chermin telah mengisytiharkan Kelantan sebagai Majapahit II atau Serambi Majapahit. Ini secara tidak langsung telah menyinggung perasaan Raja Mahmud Shah, ditambah dengan terhalangnya hasrat pemerintah Kerajaan Melaka tersebut untuk memperluaskan empayarnya melewati Pantai Timur Sumatera (Kampar dan Inderagiri).
Namun apabila Kuasa Besar Tanah Bebas Utara iaitu Kerajaan Siam merancang untuk menawan Kelantan Tua, Kerajaan Chermin tidak teragak-agak meminta bantuan Kerajaan Majapahit dengan alasan Kerajaan Melaka sedang terhimpit dengan ancaman daripada Kerajaan Pasai dan Kerajaan Annam (Cina Annan @ Vietnam) serta diselubungi kemelut dalaman Istana Bukit Melaka.
Walau bagaimanapun, tindakan ini telah dirasakan seolah-olah mengetepikan kewujudan Kerajaan Melaka sebagai kuasa besar asal di Tanah Melayu. Lantas ia telah menimbulkan lara wirang di hati Sultan Mansur Shah. Atas rasa tercabar dengan tindakan demi tindakan yang dianggap membelakangkan Kerajaan Melaka, Sultan Mahmud Shah telah mengarahkan Melaka menyerang bala tentera Siam di perairan Kelantan bagi mempamerkan kuasanya sekali gus menawan Kerajaan Chermin sebagai tindakan pengajaran dan membalas dendam yang akan membuang aib pemerintah.
Bagaimanakah nasib pemerintah Kerajaan Chermin dan adakah Kerajaan Majapahit akan membantu Kerajaan Chermin dalam kemelut serangan dua penjuru tersebut Apakah kemelut dalaman yang dihadapi dalam pemerintahan Sultan Mahmud Shah yang turut mewarnai sejarah peperangan antara kerajaan di Tanah Melayu? Segala-galanya akan terjawab dalam Lara Wirang.
Organizer
Unit Pementasan Teater Perkhidmatan Awam dan Kebudayaan (UTEPA). UTEPA merupakan satu unit di bawah Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ditubuhkan pada 1 Julai 2024, Unit ini bertanggungjawab untuk menguruskan segala aspek berkaitan pementasan teater Perkhidmatan Awam ‘Lara Wirang’ yang meliputi pra produksi, produksi dan pasca produksi.