Di puncak kayangan, Putera Serapi dikenali sebagai pemerintah muda yang adil,
berhemah dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat. Di bawah
pemerintahannya, Gunung Serapi berkembang sebagai sebuah wilayah yang aman,
makmur dan bebas daripada sebarang ancaman. Kejayaan itu mengundang rasa
bangga dalam hati ayahandanya,Raja Dewangga Sakti manakala bondanya,
Permaisuri Ratna Embun pula mula memikirkan pelengkap kehidupan putera
tunggalnya yang masih belum berpermaisuri.
Permaisuri Ratna Embun lalu mengkhabarkan tentang keindahan budi pekerti serta
kemasyhuran dua puteri kayangan yang turun ke bumi, iaitu Puteri Santubong dan
Puteri Sejinjang. Namun, sebelum Putera Serapi sempat memikirkan soal cinta,
suasana damai di kayangan dikejutkan dengan berita tentang kemunculan makhluk
misteri yang mengganas di perkampungan kaki Gunung Serapi. Ternakan rakyat
hilang tanpa jejak, tanaman musnah dan penduduk hidup dalam ketakutan.
Demi menunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah, Putera Serapi memohon
perkenan ayahandanya untuk turun ke bumi bagi menyiasat punca segala
malapetaka. Dalam pengembaraannya, takdir menemukan Putera Serapi dengan
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dalam dua pertemuan yang berbeza.
Keikhlasan, kebijaksanaan dan kelembutan budi Putera Serapi telah menambat hati
kedua-dua puteri, sedangkan Putera Serapi sendiri terperangkap dalam dilema
apabila menyedari bahawa kedua-duanya memiliki keistimewaan yang sukar
dibandingkan. Tanpa disedari, benih cinta mula berputik dalam hati mereka bertiga.
Sementara itu, Sri Buana dan Lembayung berjaya menjejaki dalang di sebalik
segala kekacauan. Makhluk tersebut ialah Dungau, seekor naga purba yang menjadi
penjaga Sungai Rayu. Namun, di sebalik kemarahannya, tersimpan sebuah kisah
duka yang menyayat hati. Ketamakan segelintir manusia yang menceroboh kawasan
sungai telah memusnahkan telur-telur naganya sehingga mengorbankan isteri dan
anak yang amat dicintainya. Sejak peristiwa itulah, Dungau bersumpah untuk
membalas dendam terhadap sesiapa sahaja yang mencerobohi wilayahnya.
Pertembungan antara Putera Serapi dan Dungau akhirnya tidak dapat dielakkan.
Setelah pertarungan yang sengit, Dungau berjaya ditewaskan. Namun, sebelum
menghembuskan nafas terakhir, naga itu melafazkan sumpahan bahawa Putera
Serapi tidak akan pernah memiliki cinta sejati sepanjang hayatnya.
Pada waktu yang sama, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang saling mengakui
bahawa mereka telah jatuh cinta kepada lelaki yang sama. Perasaan kasih yang
sebelum ini menyatukan mereka akhirnya bertukar menjadi persengketaan.
1Pertelingkahan itu mengundang kemurkaan kayangan sehingga kedua-dua puteri
disumpah menjadi gunung buat selama-lamanya.
Putera Serapi tiba ketika segalanya telah berakhir. Di hadapannya hanya tinggal dua
buah gunung yang menjadi lambang cinta, persahabatan dan penyesalan yang tidak
mungkin dapat diundurkan oleh masa.
Walaupun dipujuk oleh ayahanda dan bondanya agar kembali ke kayangan, Putera
Serapi memilih untuk terus tinggal di puncak Gunung Serapi sebagai penebus
segala penyesalan yang menghuni jiwanya. Dari puncak itulah baginda terus
memandang ke arah Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang, setia menjaga
kenangan terhadap dua insan yang pernah mengisi seluruh ruang hatinya.
Maka lahirlah sebuah legenda yang mengajarkan bahawa cinta yang paling agung
bukanlah pada memiliki, tetapi pada kesetiaan, pengorbanan dan keikhlasan
menerima takdir Ilahi.